Tuesday, January 26, 2010

Sekolah Prihatin

Salam bahagia...

Sudah masuk tahun ke 8, saya menghantar anak-anak saya ke SK St Edmund. Anak sulung saya, kemudian anak kedua saya dan juga anak bongsu saya. Rasanya sekolah ini antara yang agak baik di daerah ini, maka tidak hairanlah ia menjadi pilihan ibubapa. Guru-gurunya ramai yang berdedikasi dan berkomitmen tinggi. Justeru ianya merupakan antara aset utama sekolah ini. Rata-rata ibubapa yang menghantar anak-anak ke sini terdiri daripada golongan profesional, pegawai tinggi kerajaan, pegawai-pegawai kerajaan, orang-orang yang agak kaya-raya, anak peniaga dan sebagainya. Dulunya Pejabat Pelajaran Daerah dan juga Pejabat Pendidikan PBU terletak tidak sampai 200 meter dari sekolah ini (sekarang tidak, PPD sudah berpindah lokasi).

Apa yang boleh dipertingkatkan ialah sistem kenderaan ibubapa dan juga jalanraya ke sekolah ini. Pada tahun lepas, ketika ibubapa sibuk nak mengambil pulang anak-anak dari sekolah ini, maka sibuklah juga kontraktor yang sedang menjalankan kerja-kerja menampal jalan....ingatkan seluruh jalan akan diturap, hmmm..tidak juga. Ingatkan semua rekahan dan lubang akan diturap....lagi lah tidak. Kerja dijalankan acuh tak acuh. Ibubapa yang setiap hari menghantar dan mengambil anak-anak dapat merasakan sendiri.

Kedua..cara ibubapa menunggu anak-anak. Pihak sekolah seboleh-bolehnya mengemukakan rayuan kepada Pegawai Daerah atau pihak JKR atau yang berkenaan untuk membuat garisan jalan agar lebih bersistematik. Ibubapa pula boleh disarankan agar menggunakan satu sistem menghantar dan menunggu anak yang lebih selamat dan bersistematik. Kadang-kadang risau juga bila ada lori dan juga kenderaan lain yang rasanya macam tidak mempedulikan murid-murid sekolah apabila melalui kawasan ini. Ada jalan lorong yang bersebelahan sekolah ini yang merupakan jalan utama. Itu yang merisaukan apabila pemandu yang menggunakan jalan tersebut tidak berhemah. Cubalah PIBG dan sekolah ambil sesuatu tindakan.

Masih juga tentang jalan. Kali ini di SMK Pekan KB2. Sekolah besar, cantik, berpotensi untuk lebih cemerlang. Pelajar-pelajarnya kian bertambah. Cerita yang sama juga. Di waktu puncak iaitu 6 40 pagi dan juga 1 10 tengahari...boleh dilihat kenderaan menuju sekolah ini berbaris panjang. Pengawal tidak membenarkan kenderaan luar memasuki kawasan sekolah. Satu tindakan yang baik. Di luar ada disediakan kawasan menunggu. Tapi....semua orang mahu cepat, termasuk saya. Jalan dua lorong iaitu masuk dan keluar dari sekolah ini bertukar jadi jalan satu lorong..apabila kenderaan diletakkan kiri kanan...Dulu tidak ketara..sebab pelajar tidak ramai tetapi kini pelajar kian bertambah, maka kenderaan juga bertambah.

Pihak pentadbiran sekolah harus memikirkan satu kaedah untuk jangka masa panjang, jangan terlepas pandang, ajak PIBG dan lain-lain berbincang, masalah boleh diselesaikan.

Menghargai Masa - The Value of Time

Salam bahagia...

Hari ini, saya ingin menarik perhatian pembaca sekelian ke salah satu tonggak 12 iaitu "Menghargai Masa". Kita sebagai kakitangan kerajaan ataupun sebagai seorang pekerja perlu menitikberatkan kepentingan aspek menghargai masa ini. Dalam perkhidmatan kita, apa yang kita boleh amalkan ialah:

1. menepati masa
2. menyegerakan tugas
3. mempunyai perancangan waktu
4. bijak menguruskan tempoh masa yang diberi
5. menumpukan masa pada kerja-kerja yang produktif dan kreatif
6. menetapkan target date untuk menyiapkan kerja
7. menyelesaikan tugas dalam masa yang ditetapkan


sumber: Intan Malaysia 1992

Kita harus lupuskan istilah 'Malaysian time' iaitu kalau mesyuarat dijadualkan pada 10.00 pagi, maka hampir 10.30 baru dimulakan. Cuba renung kembali mesyuarat terakhir yang anda hadiri. Pukul berapa mesyuarat tersebut? Pukul berapa anda hadir? Pukul berapa mesyuarat dimulakan?

Monday, January 25, 2010

Tonggak 12

Salam semua..

Kita Kakitangan kerajaan. Dalam pentakrifan kakitangan kerajaan, umum mengetahui kita akur dengan perintah "Government Of The Day". Tak kira lah siapa yang memerintah, kita kena akur dengan konsep "Government Of The Day".

Sekarang ini, cuba kita lihat ke dalam hati nurani kita, secara ikhlas...kita rendahkan ego kita sikit...jawab pada persoalan "sejauh mana kepatuhan kita pada kerajaan?" Kalau kita baru masuk perkhidmatan awam...pernah kah kita rasa bersyukur? (padahal ada setengah kawan2 saya asyik mengutuk kerajaan, itu cerita lain). Ataupun setelah sekian lama berada dalam perkhidmatan kerajaan, di mana kita sekarang? Ada setengah kakitangan kerajaan cenderung menyalahkan kerajaan, ini tak betul, itu tak betul....Ini seolah-olah meludah ke langit...sebab kita mungkin lupa bahawa kita juga merupakan satu komponen kecil dalam keseluruhan perkhidmatan. Kita mungkin berlainan jabatan dan jawatan..tetapi kadang-kadang kita juga secara sedar tak sedar menyumbang kepada kekurangan ini.

Kadang-kadang saya hilang hormat terhadap golongan-golongan ini...........asyik mencari kesilapan kerajaan......tapi tak segan silu beratur di ATM nak ambik gaji. Bila ditanya, dijawab pula..."Duit ini hasil penat lelah bekerja...bukannya free"...

Hmmm..... Ya lah tu....baaaaanyak betul lah kerja dan sumbangan U untuk kerajaan.

Daulat Tuanku

Salam semua..

Sembah Takziah kepada kaum kerabat Almarhum Sultan Iskandar di atas kepulangan baginda Sultan ke Rahmatullah.
Sembah Takzim dan Tahniah juga kepada Sultan Ibrahim atas kemashyuran Baginda sebagi peneraju takhta Negeri Johor...Daulat Tuanku.

Cerita-cerita tentang Raja & Sultan sentiasa menggembirakan hati saya..secara peribadi...sebab Raja & Sultan adalah simbol negara. Negara kita Malaysia amat unik dari segi ini. Raja & Sultan juga payung negara. Tak perlu la nak ulas lanjut tentang fungsi payung, semua kita tahu.

Disebalik mengikuti permakaman baginda Almarhum Sultan Iskandar, hati saya agak tesentuh juga melihat DYMM Baginda Sultan Mizan. Walaupun kesihatan baginda tidak berapa mengizinkan, Baginda menggagahkan diri turut hadir, malah Baginda berdiri agak lama juga dalam majlis permakaman tersebut.

Saya berpendapat institusi Raja kita harus malah wajib dipertahankan oleh semua yang menggelar diri mereka warganegara Malaysia. Tidak menjadi kesalahan. Dalam menjalani kehidupan kita seharian, perkara-perkara sebeginilah yang menjadi 'top-up' nilai kita sebagai seorang warganegara. Tukang kebun sekolah saya, (keturunan etnik India) sewaktu saya bersekolah rendah di SRJK Inggeris 2, Jalan Semenyih, Kajang, selalu bersama-sama dengan kami semasa menyanyikan lagu Negaraku. Dia pun nyanyi bersama. Tak ada yang istimewanya...cuma yang istimewanya....setiap kali sampai baris...."Raja kita, selamat bertakhta".....kami selalu nampak air matanya mengalir.

Daulat Tuanku
Daulat Tuanku
Daulat Tuanku

Friday, January 22, 2010

Manisnya gula, pahitnya nak beli gula

Salam bahagia...

Hmm..beberapa hari ini cukup sibuk dengan aktiviti kerja harian dan juga kerja peribadi. Syukur pada Allah, cuaca kembali tenang walaupun di beberapa kawasan di Sandakan masih belum pulih sepenuhnya. Dan begitu juga bekalan gula. Masih belum pulih. Rak di pasar raya dan kedai-kedai runcit masih kosong. Tempoh hari saya bertanya kepada cashier di satu kedai runcit di tempat saya.
"Ada gula dik?" tanya saya.
Dia membalas pertanyaan saya dengan satu riak muka yang penuh kehairanan, seolah-olah pertanyaan saya itu salah di sisi undang-undang. Ataupun dia dah lupa bagaimana rupa gula atau apa itu gula. Biarkanlah.