Pertama sekali, saya ingin mengucapkan berbanyak banyak terima kasih kepada semua kerana memberi ruang kepada saya selaku {Pengerusi Kelab Staf SMK Pekan Kota Belud untuk menyampaikan kata kata aluan dalam Majlis Sambutan Hari Guru peringkat sekolah kita pada pagi ini.
Pada tahun ini, sekali lagi dengan semangat tema Guru Pembina Negara Bangsa, kita, GURU, melangkah setapak lagi dalam arena profesion mulia penuh cabaran ini.
Tuan tuan dan puan puan,
Sebenarnya tiada kata-kata yang dapat diungkapkan untuk menggambarkan kemuliaan guru. Masyarakat masih menyanjung tinggi guru. Tetapi, kita seharusnya bermuhasabah diri apakah sanjungan dan kemuliaan yang ada pada profesion ini dan kemudiannya ditumpangkan pada kita yang pada asalnya hanyalah individu biasa masih kekal mulia? Adakah rasa gah jadi guru sedikit sebanyak telah menambahkan sifat egois kita?
Tuan tuan dan puan puan.
Dalam masyarakat dahulu dan juga sekarang, kumpulan guru dilihat dan dianggap golongan terpelajar dan berilmu tetapi bak kata ungkapan “Little Knowledge is dangerous” , ada kalanya kita senang serta selesa dengan ilmu yang ada, lantaran menghindarkan diri kita dalam pencarian dan penambahan ilmu. Ada kalanya kita sedar akan situasi ini, tetapi oleh kerana kita dibayangi oleh perisai kekebalan istilah GURU, maka kita meremehkan perkara lain terutamanya dalam proses mencari ilmu baru yang relevan dengan profesion kita. Sebagai contoh, Kalau 15 tahun yang lepas, komputer merupakan satu benda yang cukup asing sekali tetapi sekarang ianya merupakan antara komponen penting kehidupan. Cukup banyak cabang cabang ilmu pendidikan yang harus kita terokai. Ilmu-ilmu ini bukan hanya dalam pedagogi semata-mata tetapi segala urusan berkaitan pendidikan seperti pengurusan dan pentadbiran pendidikan.
Tuan tuan dan puan puan,
Kerjaya Guru bukan sekadar kerja semata-mata. Kalau kita renung kembali, sebenarnya kita membina kehidupan kita dengan hasil usaha kita sebagai guru. Walaupun imbuhan kewangan tidak menjanjikan kemewahan, sekurang kurangnya ‘dayung sudah di tangan, perahu sudah di air’. Namun amat pincanglah fikiran dan peradaban kita sekiranya kita masih berpendapat bahawa kerjaya guru hanyalah sebagai satu bentuk kerja atau ‘job’. Dalam semua fahaman agama, kita percaya bahawa satu taraf yang amat tinggi, digazetkan untuk guru. Maka, selain daripada sejenis pekerjaan, ianya juga merupakan satu ibadah. Bila ianya disamakan dengan ibadah, maka apakah pula istilah yang sesuai yang patut kita labelkan pada tempat kita “beribadah” ini? Apakah tertib yang harus kita amalkan? Kita harus fikirkan bersama.
Tuan tuan dan puan puan,
Bagi mereka yang baru sahaja menempuh alam perguruan ini, saya percaya tuan tuan dan puan puan telah bernekad untuk membawa diri masing masing ke tahap yang lebih tinggi dari hari semalam dan bagi mereka yang telah matang dalam bidang ini jangan jadikan diri dibuai bayangan mimpi indah malam tadi. Saya amat tertarik dengan cogankata sekolah kita iaitu “Berilmu dan Berketerampilan”. Sebelum kita semaikan cogankita ini pada anak anak pelajar, semaikanlah ia dulu dalam sanubari kita. Dua perkataan iaitu “berilmu” dan juga “berketerampilan” amat sesuai jika ianya menjadi satu tanda aras dalam diri kita. Saya juga ingin menyeru pada rakan rakan guru dan juga sebagai peringatan pada diri saya sendiri agar jangan goyah, kecewa dan alpa dengan segala bentuk cabaran yang kita hadapi dalam tugas harian kita, bak kata pepatah, “ular menyusur akar, tak hilang bisanya”. Kita seharusnya jangan sekali –kali tunduk dengan cabaran yang datang dalam berbagai bentuk, contohnya, suasana kerja, persekitaran masyarakat, mutu kesihatan, dan berbagai bagai lagi yang sentiasa mencari ruang kelemahan kita. Sebagai satu keluarga warga pendididik, kita seharusnya bersatu dalam apa jua keadaan dan tidak seharusnya bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing tetapi hendaklah “cubit paha kiri, paha kanan turut rasa sakit”.
Tuan tuan dan puan puan,
Masyarakat yang memuliakan guru, turut juga mengaibkan guru, dengan bidalan, “kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari”. Justeru itu kita juga harus sentiasa berwaspada dengan tutur kata, tingkah laku dan segala amalan kita agar ianya tidak mengiyakan bidalan tadi. Selain dari menjalani kehidupan sebagai seorang guru, kita jangan lupa bahawa kita juga adalah penjawat awam. Maka kita tertakluk dengan segala macam peraturan etika dan peraturan perkhidmatan. Tidak kira sesiapa sahaja di atas kita, sebagai penjawat awam kita tertakluk pada konsep “Government Of The Day”. Dalam perkara perkara sebegini kita tidak mempunyai banyak pilihan. Kita juga turut menjadi medium atau perantara untuk menyebarkan dasar dasar dan polisi kerajaan dan juga pelaksananya. Sekiranya kita beranggapan bahawa sesetengah dasar atau polisi kerajaan tidak berjaya terutamanya dalam arena pendidikan, maka kita harus sedar bahawa kita juga lah merupakan sebahagian kecil yang bertanggungjawab dalam menggagalkan perkara tersebut, sebagai contoh, seperti yang berlaku pada PPSMI. Kalau kita tidak menjadi garam untuk mengawet ikan, jangan pula kita bertukar menjadi ulat yang merosakkan ikan tersebut.
Akhir kata, saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi tinggi ucapan terima kasih dan penghargaaan saya khususnya kepada Tuan Pengetua yang banyak memberi sokongan dan dorongan, para pentadbir, ahli jawatankuasa Kelab Staf, semua warga SMK Pekan Kota Belud di atas sumbangan dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan sambutan Hari Guru peringkat sekolah kita ini. Sesungguhnya setiap detik saya bersama tuan tuan dan puan puan serta anak anak pendidik , merupakan ‘guru’ saya kerana anda lah, saya berada di sini. Selamat Hari Guru. Terima kasih, Cikgu.
No comments:
Post a Comment