Thursday, September 15, 2011

Amalan Senyum

Salam Bahagia...

Saya senyum tersipu-sipu termasuk senyum kambing apabila membaca surat (arahan?) pekeliling MAMPU (rujuk bahagian pekeliling di KPM ) yang menggariskan dengan panjang lebar tentang amalan senyum kakitangan kerajaan.

Senyuman merupakan satu proses fitrah yakni semulajadi yang terbit dari hati seseorang. Ianya mungkin terbit di kala seseorang itu gembira atau ada sesuatu yang menggembirakan hati seseorang. Senyuman yang dipaksa pula umpama gula, rasanya manis tapi boleh mencetuskan penyakit.

Balik pada pekeliling dan arahan MAMPU yang kemudiannya dipanjangkan kepada semua Kementerian (termasuk KPM), yang bertarikh pada tahun 2010, Pengarah MAMPU mengulas amalan senyum berdasarkan banyak aspek iaitu dari konteks perkhidmatan yang diberikan oleh kakitangan kerajaan yang terlibat secara tidak langsung dengan counter service dan yang bersemuka terus dengan orang awam.

Pokoknya ialah semua kakitangan kerajaan hendaklah mengamalkan konsep senyum apabila memberi perkhidmatan mereka. Saya setuju 100%. Sejuk hati kita apabila mendapatkan perkhidmatan di kaunter kerajaan. Semuanya "menyenyumkan" diri masing-masing. Ikhlas? Wallahuahlam.

Apabila balik rumah, saya terfikir......hmm...perkara yang sepatutnya jadi fitrah manusia, perkara yang sepatutnya berlaku secara semulajadi dan ikhlas, perkara yang sepatutnya TIDAK perlu disuruh, kini perlu di arah-arah pula......siap dengan ada pekeliling sekali. Tak lama lagi mungkin ada pekeliling yang lebih detail untuk kakitangan awam kita: cara nak ketawa, cara nak menguap, cara nak kentut dan lain-lain cara.

Di mana silapnya bila generasi atau rakyat kita semakin hilang nilai-nilai hidup yang sepatutnya berlaku secara semulajadi? Sehinggakan moral pun dijadikan satu matapelajaran. Moral diajar di sekolah? Sekarang sivik pun diajar. Saya lebih suka Sivik daripada Moral. Sebabnya ialah sudah jadi satu trademark dalam sistem pendidikan kita iaitu apabila seorang pelajar yang mengambil Moral, pelajar itu ialah bukan Islam. So, Moral hanya untuk pelajar bukan Islam. Pelajar Islam tidak perlu moral?

Kalau Sivik, ianya untuk semua. Saya masih ingat lagi Pendidikan Sivik semasa saya di Darjah Tiga pada tahun 1977. Antara yang saya masih ingat ialah jangan buang sampah merata tempat, jangan rosakkan kemudahan awam dan cara-cara menggunakan tandas.

Entahlah....saya pun masih mencari apa yang hebat dalam sistem pendidikan kita.

Jangan lupa senyum.

No comments:

Post a Comment