Monday, January 18, 2010

Bangsa Malaysia

Salam sejahtera..

Manusia mencipta pelbagai istilah untuk membezakan manusia itu sendiri. Antaranya dalam bahasa Malaysia(Melayu) ialah:
01. Bangsa
02. Kaum
03. Keturunan
04. Etnik
05. Ras (mungkin juga kaum?)
Dalam bahasa Inggeris pula ialah:

01. Nation
02. Race
03. Ethnic
04. Tribe

Apakah maksud Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu? PBB.. Dalam bahasa Inggerisnya United Nations. Maka mengikut terjemahan ini, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu secara tidak langsung mentakrifkan Bangsa itu sebagai Nation, dan Nation atau Bangsa itu sendirinya membawa erti Negara. Kita harus ingat bahawa PBB adalah sebuah badan yang berwibawa dan berpengaruh, maka tidak salah kita menggunakan tafsiran yang sama seperti PBB.

Saya teringat iklan PETRONAS arahan Allahyarhamah Yasmin, apabila ditanya "What is your friend's race?" (atau "What is your race?"), kanak-kanak itu tidak terjawab pada mulanya dan selepas beberapa ketika, jawapan yang keluar ialah "race car?"...barangkali 'race' yang dia faham ialah 'race' yang bermaksud 'lumba atau perlumbaan'. Kita tinggalkan dulu iklan itu.

Saya teringat juga bacaan saya dari Prof Ameritus Khoo Kay Kim (maaf, saya tidak ingat sumber bacaan tersebut). Beliau menyatakan bahawa semua warganegara Malaysia harus dikenali sebagai BANGSA MALAYSIA. Rasionalnya dipetik dari istilah "United Nations" yang saya olah di atas tadi. Contohnya, dalam perhimpunan PBB, ada American (mewakili negara Amerikalah barangkali, ada Chinese (mewakili negara China) dan Indian (mewakili negara India ). Setiap perwakilan mewakili Nation (atau Bangsa = Negara) mereka. Betul ke andaian saya ini?

Dalam urusan harian kita, kita berdepan dengan pengisian pelbagai jenis borang. Saya pernah ditegur oleh pegawai atasan saya apabila saya menulis "MALAYSIA" pada ruangan "bangsa" dalam satu borang. Pernah juga saya ditegur di bank, syarikat insurans, hatta anak saya sendiri apabila saya menulis sedemikian di borang buku pinjamannya.
"Bangsa bah bapak.... kenapa bapak tulis Malaysia? Kita orang apa?" tanya anak saya.
"Orang Malaysia la bah..." jawab saya.
"Hisk...mana ada...cikgu suruh tulis Bajau ke, Melayu ke...." mengomel si kecil.
Kalau yang itu, bukankah itu menyatakan keturunan atau ras atau etnik?
Hmm...ikut sahaja lah.

Alangkah cantiknya kalau istilah Bangsa Malaysia itu diguna sebagai menggambarkan identiti warganegara Malaysia (tidak digunapakai untuk bukan warganegara Malaysia). Dan kalau inginkan maklumat tentang kaumnya, letak satu lagi ruang untuk "Etnik". Dan apabila kita tanya sesiapa pun rakyat warga Malaysia tentang bangsanya, maka BANGSA MALAYSIA lah kita. Dan etnik apa? Baru lah dinyatakan sebagai cina, india, bajau, kadazan dan sebagainya.

Saya lebih suka penggunaan etnik dari kaum. Sebab istilah kaum kadang-kadang membawa konotasi negatif, contohnya dari kaum timbullah PERKAUMAN, begitu juga race...muncullah Racist, Racism... tapi kalau guna etnik....kita tidak dapat menambah apa-apa imbuhan untuk menukar sifat etnik itu.

*Makluman : Penggunaan istilah "Bangsa Malaysia" ada dinyatakan dalam Wawasan 2020

Apa yang dinyatakan di atas adalah sekadar untuk renungan. Mungkinkah inilah konsep 1Malaysia itu?

"Where got..." balas kawan saya dari etnik india semasa minum petang di Alamesra.

No comments:

Post a Comment